Senin, 15 Agustus 2011

Dalam hati seorang anak kecil ( anak sekolah minggu )

Rumah Tuhan itu ialah gereja ku. Anak kecil itu adalah aku.

Pernah seorang guru bertanya di dalam kelas.. “Baiklah, pada pendapat kalian mengapa kamu menyukai agama mu?”

Ada sahabat lain menjawab, “Kerana agama ku baik, setiap kali ku melihat bayi dilahirkan aku sangat bersyukur kerana itulah kehidupan. Yang dijanjikan Tuhan ku.”

Dan ketika aku ditanya pendapatku, aku menjawab dengan tenang dan sejujurnya.. “Saya tidak pernah memilih agama ku, sejak aku dilahirkan aku memang dilahirkan sebagai Kristian, saya percaya kita semua pun begitu; tidak diberi kuasa untuk memilih agama ‘untuk disukai’. Pilihan ibu bapa kita, ibubapa kepada ibubapa kita, moyang kita lah yang telah menetapkan agama kita. Tetapi tiada apa yang buruk mengenai itu. Sememangnya semua agama yang diperturunkan kepada kita itu baik. Jika tidak kita pasti sudah mati di dunia ini, bukan?”

Semua orang terdiam. Beberapa ketika baru guru ku bersuara, “..Terima kasih Emily.”…

Sememangnya yang ku lihat begitulah, seingat aku semenjak aku membuka mata di dunia ini, agama ku yang itu, dan sejak itu Gereja itu lah yang telah aku hadiri pada setiap Ahad seumur hidup ku ini. Dan aku sekali pun, ya, sekali pun tidak pernah menyesal kerana pemilihan ini. Yang ada itu syukur. Syukur Tuhan kerana di pilih anak kecil ini.

Ketika pertama kali aku memasuki sekolah berasrama penuh, pada usia yang masih sangat muda, masih sangat rapuh dalam hal agama, senang-senang sahaja jika ada manusia yang mau melencongkan agamaku. Namun tidak. Bukan tidak ada. Ada. Malah banyak yang mencuba. Aku ini memang bernasib baik. Kerana pelajaran agama yang diberikan orang tua ku sangat sederhana. Tidak berlebihan dan tidak pula berkurangan. Cukup sekadar, “Anakku, di saat kau kejauhan, jangan lupa ke gereja.” Dan itulah yang ku turuti. Jadi aku sudah terbiasa. Setiap kali ke sana, aku juga mencari sebab. Mengapa aku di sini? Mengapa bukan di tempat sembahyang itu? Yang lebih ramai orang. Yang lebih besar. Yang lebih diterima orang ramai. Yang lebih kuat sembah dan pujinya. Itulah yang ku soal setiap kali ke Gereja ku. Dan ku cari jawapannya dalam pelbagai cara; dari doa yang diajarkan, dari Firman Suci, dari Nyanyian dan Pujian, dan dari doa ku sendiri. Masih tidak terjawab.

Namun aku teruskan juga. Digereja itu. Dan semakin ku membesar, semakin setiap minggu ku merindui untuk datang ke gereja ku. Biar jauh. Biar membosankan. Biar orang-orang yang datang bukan sebangsaku. Tapi aku masih datang. Dan masih tidak tahu mengapa.

Pada suatu kali, salah seorang dari ahli gereja yang ku kenal sudah tidak pernah menginjak kaki ke gereja. Rupanya dia ke gereja yang satu lagi. Cabang yang lain. Alasannya? Itu urusan dia dan Tuhan. Hati ini terasa kehilangan yang besar. Bukan juga kerana aku rapat dengan orang itu. Pedih. Kerana ku melihat satu ‘benang’ telah terputus. Di saat ia sedang menjahit suatu pakaian yang indah. Akhirnya ia menjadi baju yang cacat. Kalian fahamkan? Benang itu pelajaran dan pengalamannya tentang Yesus ku dari Gereja ini. Pakaian itulah yang akan dipakainya semasa bertemu denganNya nanti. Iman. Pindah dia ke gereja lain bermaksud memulakan benang yang baru. Sempatkah bajunya siap nanti?

Begini mungkin perasaan Tuhan ku. Semenjak itu, aku bersumpah dalam hati tidak akan meninggalkan Gereja ku. Biar satu saja sampai akhir hidupku. Aku tidak akan pernah meninggalkan Keluarga ku di dalam Gereja itu.

Kemudian, setelah sumpah itu, aku bertemu lagi dengan sahabat-sahabat lain. Mereka juga pernah dari Gereja ku. Cuma mereka juga tertarik untuk keluar untuk ke Gereja Sebelah. Dengar cerita mereka..

Yang seorang ini dari kecilnya tidak pernah ke gereja. Orang tuanya sendiri tidak punya agama. Hanya pada umur 13 tahun dia sampai ke Gereja ku dan dibaptiskan. Namun pada tahun yang sama ia telah minta dibaptiskan ke Gereja yang lain. Dan dia telah memberi perkongsiannya tentang betapa dia merasa rugi pernah ke Gereja ku dan beruntungnya dia masuk ke gereja tempat dia berdiri sekarang. Kerana cara pembaptisan yang dianggap salah, Gereja ku salah katanya, dapatan yang baru ditemui pengkaji agama beberapa puluh tahun yang lalu. Betapa ku harapkan ia tidak menceritakan ini semua kepadaku. Kepada Hadirin dalam gereja itu. Suatu kebodohan bagiku. Minta maaf. Terpaksa ku katakan. Kerana pendapatku, dia langsung tidak punya hak. Baru beberapa tahun mengenali Gereja ku. Dan pengadilan yang dia berikan langsung tidak setimpal dan begitu cetek. Begitu cetek. Harus dia cari alasan lain. Atau jangan dikongsikan kepada orang sama sekali. Hanya menunjukkan betapa tujuan dia ke gereja itu semacam ada kepincangan.

Dan baru-baru ini, ada pula sahabat lain ingin ‘berpindah’ juga. Katanya dalam Gereja kita terlalu banyak prosedur. Ada Permandian. Ada Penguatan. Ada Penyambutan. Sahabatku Ada Tujuh Sakramen semuanya. Pada pengetahuan saya, ia semuanya baik. Mungkin menyusahkan. Tapi adakah jalan mudah bagi mendapatkan sesuatu. Bahkan bagi mendapatkan satu Agama. Suatu yang mudah itu boleh saja mengaburkan mata. Kalau tidak, mengapa dalam Alkitab ada tertulis.. “Memasuki kerajaan Allah itu bagai memasuki lubang jarum.” Ada benarnya. Lihatlah betapa sikit orang yang mencari Tuhan. Mereka hanya mencari Gereja. Yang mudah. Yang menyeronokkan. Yang memberi kepuasan.

Tapi kataku, Pergilah mencari gereja yang disukai. Jalan Tuhan bukan jalan manusia. Kita tidak mungkin memahaminya. Kita cuma perlu mendengarkan bisikanNya. Dan mengikuti jalanNya. Mungkin saja kau diberikan ketentuan itu. Mungkin dalam gereja itulah Tuhan telah tentukan tempatmu. Tapi inilah tempatku.

Rumah Tuhan itu pada mata anak kecil ini ialah Rumah di mana anak kecil bertemu suatu kepastian. Pasti bahawa Tuhan ada di sebelahnya ketika anak kecil duduk berdoa di RumahNya. Dan bersama-sama dengannya bertepuk tangan saat anak kecil menyanyi memuji dengan hati yang sederhana. Anak kecil pasti Dia ada. Kerana itulah anak kecil rindu selalu ke Rumah itu. Oh dan tidak lupa juga, ada Roh Kudus yang membimbing anak kecil ini. Memahami Firman dan mengajar anak kecil berdoa tulus. Dan pasti juga ada Ibu Maria, menegakkan duduk anak kecil di Rumah Tuhan, menggoncang bahu anak kecil semasa anak kecil nakal dan memandang hal lain ketika ada Yesus bercerita di hadapan dan saat memecahkan Roti. Bukan. Membagi-bagi TubuhNya. Anak kecil sangat senang di Rumah Tuhan.

Bapa ini anak kecilMu.

Jadi orang-orang besar, yang sudah memahami ajaran dunia, yang sudah berpelajaran, yang sudah faham semua ajaran Dunia dan Sorga.. tinggal saja di gerejamu..setia selalu pada gerejamu..belajar dan perdalamkan kepastian itu. Di mana-mana pun pasti ada. Gereja lain juga ada. Memang ada. Tapi tetap setia dalam gereja mu.. Baju mu itu belum siap.

Salam dari anak kecil yang tidak tahu apa-apa ini.

(dari sumber terpercaya)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar